Sektor awam perlu tingkat kumpulan pembuat keputusan wanita

Sektor awam perlu tingkat kumpulan pembuat keputusan wanita
Nancy Shukri

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu melihat sasaran 30 peratus wanita dilantik sebagai kumpulan pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah tercapai di sektor swasta.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata,  sasaran itu diharap dapat merapatkan jurang gender pembuat dasar atau keputusan syarikat yang dimonopoli kaum lelaki.

Nancy berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, nisbah gender itu masih lagi rendah jika dibandingkan kadar 38 peratus dalam sektor awam.

"Ia bukan dalam kawalan kami tapi kami cuba untuk terus berikan advokasi sebab kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk pastikan desakan ini diterima dalam sektor korporat. 

"Jika ada syarikat yang berdepan kesukaran dalam bekalan tenaga kerja wanita untuk posisi tinggi, kami juga ada sumber dari Yayasan Kepimpinan Wanita melaui bank CV (curiculum vitae),'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program 'Breakfast Conversations With Datuk Seri Nancy Shukri, hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi WLF, Datuk Dr Hafsah Hashim berkata, pada tahun lepas, syarikat tersenarai awam hanya mencapai 22 peratus golongan wanita dalam peringkat pembuat dasar.

Justeru, beliau mencadangkan sasaran 30 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dapat dijadikan dasar bagi memastikannya tercapai sekali gus memberi pulangan yang baik kepada negara.

“Saya percaya kalau ia dijadikan dasar oleh kerajaan kita akan bergerak pantas untuk mendapatkan 30 peratus itu dan kalau boleh kita nak lebih lagi.

“Ini kerana berbagai kajian termasuk PwC dan Bursa menunjukkan kalau meletakkan wanita sebagai ahli lembaga pengarah maka dari konteks keuntungan syarikat, pulangan daripada pelaburan, pulangan ekuiti semua akan meningkat, jadi kita bukan suka-suka cakap,” katanya.