Rasional di sebalik logo Malaysia Madani

Rasional di sebalik logo Malaysia Madani
Logo Malaysia Madani.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sosial medianya semalam telah memperkenalkan rasional disebalik logo Malaysia Madani. 

Menurut Anwar, logo Malaysia Madani secara jelasnya mencakupi elemen kebangsaan yang selama ini kita junjung sebagai ciri umum negara Malaysia yang eksklusif. 

Katanya, penggunaan warna merah, putih, biru dan kuning selain lambang bulan sabit dan bintang menggambarkan betapa dekatnya gagasan ini dengan semangat kenegaraan.

Warna biru menggambarkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan manakala warna kuning membawa nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan. 

Tambah Anwar lagi, warna merah mencerminkan keberanian, jati diri dan keazaman manakala warna putih pula membawa makna keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni.

Dalam pada itu, lambang utama yang diterapkan di dalam logo Malaysia Madani adalah lima jari dengan jalur berwarna merah dan putih. Lima jari ini merupakan simbolisme kepada Rukun Negara. 

Bulatan berwarna biru pula menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat dan lambang bulan sabit pula merupakan simbol agama Islam sebagai agama Persekutuan. 

Sementara itu, bintang berbucu 14 pula secara dasarnya menandakan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.