Penantian 39 tahun miliki Mykad berakhir

Penantian 39 tahun miliki Mykad berakhir
Hashimah menunjukkan Mykad yang baru diperoleh di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, hari ini.
Penantian 39 tahun miliki Mykad berakhir
Penantian 39 tahun miliki Mykad berakhir

PUTRAJAYA - Penantian 39 tahun seorang wanita untuk memiliki Mykad berakhir hari ini selepas dia menerima kad pengenalan diri itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, hari ini. 

Lebih istimewa, kad pengenalan Hashimah tersebut diterima selepas dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada 9 Januari lalu. 

Hashimah berkata, dia hampir berputus asa untuk mendapatkan kad pengenalan tersebut, namun dia bersyukur selepas usahanya selama dua tahun naik turun mahkamah membuahkan hasil.

“Saya bila dapat tahu dapat (kad pengenalan) di mahkamah, saya berselawat banyak-banyak, saya baca al-Fatihah, Ya Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir saya tiup dekat hakim punya muka. 

“Saya cakap pada tuhan selama 39 tahun saya berserahlah, dapat tak dapat saya bergantung kepada tuhan sahaja. Tapi saya   betul-betul sudah putus asa dan bila dapat saya memang tidak sangka,” ujarnya ketika ditemui media selepas mendapatkan Mykad di JPN hari ini. 

Mengulas lanjut, Hashimah yang juga berkerja sebagai pembantu am di pusat kebajikan sekitar Selayang, berkata, disebabkan dia tidak memiliki Mykad, dia tidak dapat memohon bantuan daripada zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Tambahnya, dia juga telah ditangkap pihak berkuasa sebanyak lebih 20 kali dan dimasukkan ke dalam lokap selama tiga hari disebabkan tidak memiliki kad pengenalan diri. 

“Saya rasa susah bila dapat kad pengenalan hijau. Saya rasa bila saya ingin buat sesuatu itu memang perit. Semua tidak dapat, nak minta apa-apa pun tidak dapat, zakat tidak dapat, nak minta JKM pun tidak dapat. 

“Selepas itu, selalu kena tangkap. Kena tangkap dengan polis bila mereka buat operasi. Lebih 20 kali kena tangkap. Pernah masuk lokap dalam tiga hari sebab mereka (polis) ingat saya bukan warganegara.

“Saya rasa tidak takut sebab sudah biasa. Waktu mula-mula itu agak keliru tapi lama-kelamaan bila mereka tangkap saya rasa biasa sahaja, saya fikir buat apa nak takut dengan dia saya takut dengan Allah,”katanya lagi. 

Sementara itu, peguam yang mewakili Hashimah, Zaid Malek, berkata, pihak kerajaan perlu menyemak kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang tidak diketahui  identiti ibu bapa untuk kad pengenalan. 

“Mahkamah Persekutuan telah mengatakan bahawa anak-anak yang terbiar yang mana ibu-bapanya tidak diketahui atau jumpai patut diberikan kerakyatan di bawah Perlembagaan Persekutuan

“Tidak perlu lagi mahkamah untuk mengulang acap kali perkara yang sama seharusnya pihak kementerian mengambil perhatian dan mengemas kini SOP agar tidak berlaku lagi isu-isu seperti ini,” jelasnya. 

Terdahulu, Hashimah keluar dari ibu pejabat JPN di sini, sambil ditemani dua orang peguamnya pada jam 12.45 tengah hari selepas mendapatkan kad pengenalan diri tersebut.