Festival Ramadan Putrajaya sasar setengah juta pengunjung

Festival Ramadan Putrajaya sasar setengah juta pengunjung
Festival Ramadan Putrajaya (FRP 2023) di Dataran Putrajaya Presint 3.
Festival Ramadan Putrajaya sasar setengah juta pengunjung
Festival Ramadan Putrajaya sasar setengah juta pengunjung
Festival Ramadan Putrajaya sasar setengah juta pengunjung

PUTRAJAYA – Penganjuran Festival Ramadan Putrajaya (FRP 2023) di Dataran Putrajaya Presint 3 di sini menawarkan pengalaman membeli belah di pusat sehenti serba lengkap untuk keperluan Ramadan dan Aidilfitri.  

Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn Bhd, Shahrul Musa berkata, festival yang bermula sejak 22 Mac dan dijangka berakhir pada malam Hari Raya pertama itu menghimpunkan lebih 500 lot perniagaan selain dimeriahkan dengan pelbagai acara tarikan.

“Untuk menyemarakkan semangat Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, FRP2023 dibahagikan kepada empat komponen iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar.

"Ia diadakan di lima lokasi iaitu di tapak bersebelahan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin; tapak parkir Taman Seri Empangan, Presint 5; tapak parkir Pasar Awam Presint 8; tapak berhadapan Depo PPj, Presint 9 dan tapak Pasar Malam Presint 14,’’ katanya selepas Pertunjukan Fesyen FRP 2023 di sini pada Sabtu.

Shahrul berkata, program bertemakan ‘Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran’ itu mendapat sokongan daripada 14 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),  48 usahawan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan 108 usahawan dari seluruh negara.

Antara tarikan utama pengunjung pada FRP2023 adalah Anjung Syawal yang menghimpunkan lebih 200 peniaga di ‘laluan khemah’ sepanjang 450 meter di depan Istana Kehakiman.

“Acara jualan ini dibuka bermula dari 3 petang sehingga 12 tengah malam. Setakat ini, kami menerima sambutan yang sangat baik terutama dalam kalangan pengunjung yang datang selepas berbuka puasa.

“Untuk mengelak kesesakan selepas berbuka, pengunjung juga boleh mengambil peluang berbuka puasa di Dataran Putrajaya Holding (PjH) yang hanya terletak bersebelahan dengan tapak Bazar Ramadan Presint 3,’’ katanya.

Mengulas mengenai Pertunjukan Fesyen FRP2023, Shahrul berkata, ia diadakan bagi mempromosikan koleksi busana raya terkini yang boleh didapati di reruai FRP 2023. 

“Antara jenama yang mengambil bahagian di dalam pertunjukan fesyen FRP 2023 ini adalah Zareeth Zehra, Elrah Exclusive, bulan bintang, rimbun dan Muslim Vibes

“Selain itu, jenama-jenama terkenal seperti Elrah Exclusive, Bulan Bintang, Jols Luxe Fabrics, Rimbun KL, Zareeth Zehra, Arma Couture, Ejay Collection dan Muslim Vibe turut terlibat dalam FRP 2023 ini,’’ katanya.

Selain berbelanja, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal berharga RM10,000 bagi setiap resit pembelian bernilai RM100.

“Itu tidak termasuk peluang lain seperti hadiah bernilai RM 1 juta yang ditawarkan Bank Muamalat,’’ katanya.

Pengarah bersama Ingenious Creative Lab (M), Rara Nadirah berkata, antara selebriti yang terlibat dalam pengisian acara di FRP 2023 ialah Mawi, Rayme Zainal, Saharul Ridzwan, Adira Suhaimi, Asfnan Shah, Afzan, Shahz Jaszle,  Salma Asis, Jojo One Nation Emcee, Elly Ariffin, Faizal FBI dan Rayme Zainal.