Program Menu Rahmah dijangka masuki IPT selepas Aidilfitri

Program Menu Rahmah dijangka masuki IPT selepas Aidilfitri
GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU - Program Menu Rahmah dijangka akan diperluas ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)  dan pada peringkat awal, akan dilaksanakan di 20 IPTA di sekitar Lembah Klang.

"Perkara ini saya telah bincang dan menghubungi sendiri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri KPT) dan beliau sangat bersetuju untuk bersama-sama laksana program ini.

"Dari segi menyediakan tempat, itu adalah di bawah bidang kuasa KPT dan menu pula adalah di bawah KPDN, jadi dengan kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk menyelaras, saya rasa ia boleh dilaksana selepas segala perancangan dibuat iaitu selepas Aidilfitri," katanya selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, di sini hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Program Menu Rahmah di IPT.

Beliau kemudiannya tidak menolak kemungkinan program sama diperluas melibatkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).