LRT tergendala: Pengguna harap masalah diselesaikan segera

LRT tergendala: Pengguna harap masalah diselesaikan segera
Penumpang menggunakan bas pengantara percuma di stesen LRT Bandaraya susulan kerosakan struktur jejambat yang menyebabkan penjajaran landasan bengkok di stesen tersebut.
LRT tergendala: Pengguna harap masalah diselesaikan segera
LRT tergendala: Pengguna harap masalah diselesaikan segera

KUALA LUMPUR - Pengguna Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang - Sri Petaling menggesa pihak RapidKL untuk segera membaik pulih kerosakan landasan di LRT Bandaraya. 


Menurut Amirul Syafiq Azizi, salah seorang penumpang yang ditemui berkata, perkhidmatan LRT Bandaraya yang tergendala sejak 27 Januari lalu telah memberikan kesukaran kepadanya.

“Saya sebenarnya baru hari ini guna perkhidmatan LRT. Bagi saya kalau ikut yang sebelum ini baik sahaja sebab dengan adanya perkhidmatan bas terus ke Hang Tuah dan Plaza Rakyat. 

“Tapi sebab hari ini tergendala, sangat -sangat (beri kesan) sebenarnya sebab saya tadi dengan kawan saya pun macam kaku sebab rasanya boleh terus ke Hang Tuan cuma kali ini rasa macam agak berbeza,” jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan Malaysia Tribune hari ini mendapati keadaan di Stesen Bandaraya terkawal dengan adanya pegawai RapidKL yang membantu penumpang mendapatkan bas pengantara percuma di stesen berkenaan. 

Sementara itu, penumpang juga mengharapkan pihak RapidKL untuk sentiasa mengemas kini perkhidmatan mereka kerana masalah tersebut kerap berlaku akhir-akhir ini. 

“Pihak RapidKL sepatutnya kemas kini perkhidmatan mereka dan tengok keadaan sekarang ini memang selalu berlaku gangguan perjalanan sama ada di laluan Putra Heights atau Ampang memang kerap jadi dan agak menyukarkan untuk warga kota ulang alik berkerja,” jelas Borhan Seman. 

Terdahulu, siasatan kerosakan struktur jejambat yang menyebabkan penjajaran landasan bengkok stesen LRT Bandaraya, di sini, dijangka mengambil masa sehingga dua minggu.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata, siasatan secara menyeluruh kini sedang dijalankan ke atas kerosakan struktur 'viaduct' dan 'pier' yang retak bagi mengenal pasti punca kerosakan.

"Sebuah syarikat perunding kejuruteraan yang berpengalaman dilantik untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kerosakan dan siasatan ini mengambil kira semua kemungkinan.

"Ini perlu bagi menentukan pelan tindakan rektifikasi yang akan diambil. Siasatan ini dijangka akan selesai dalam masa dua minggu,” kata kenyataan tersebut.