Kerajaan perkenal Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap mulai bulan hadapan
CYBERJAYA - Kementerian Komunikasi dan Digital hari ini mengumumkan pengenalan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap bagi membantu golongan B40, veteran, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.
Menterinya, FahmI Fadzil berkata, perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 megabit sesaat (Mbps) bersama data tanpa had itu ditawarkan pada harga hanya RM69 sebulan.
Pakej yang akan mula ditawarkan bulan depan dengan kontrak langganan selama 24 bulan itu selari dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menurunkan kos sara hidup.
“Harga pakej yang ditawarkan 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89 bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.
“Pakej ini adalah dengan kerjasama daripada syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, inisiatif tersebut bukan sahaja seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat, malahan merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.
Fahmi menambah, Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan juga akan terus berusaha dalam memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia Madani.