Kerajaan Perpaduan tidak akan ulang sikap menekan kerajaan terdahulu
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada mana-mana pihak yang disiasat berhubung salah laku dan penyelewengan supaya tidak membuat tohmohan kepada kerajaan.
Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak akan mengulangi sikap menekan seperti dilakukan kerajaan terdahulu sebaliknya bertindak atas laporan yang dibuat berhubung sesuatu kes.
"Badan siasatan dan penguatkuasaan Mahkamah kekal bebas. Kita tidak mengulangi sikap menekan seperti yang dilakukan dahulu.
"Kerajaan menganggap pihak yang disiasat saat ini usah gelojoh membuat tohmahan kerana badan siasatan bertindak atas laporan yang dibuat setelah mendapati projek-projek kerajaan yang menelan belanja melampau tinggi serta tanpa proses tender.
"Siasatan yang dilakukan juga tidak tertakluk pada pandangan saya serta pihak Eksekutif,'' katanya melalui perkongsian intipati penting hal-hal dalam Mesyuarat Jemaah Menteri kenyataan di Facebooknya semalam.
Selain itu Anwar juga mengusulkan supaya wujud kerjasama antara kerajaan dengan pihak swasta serta GLC untuk melatih golongan muda di bawah peruntukan TVET 2022.
"Kita mengusahakan langkah segera ini untuk memastikan anak-anak ini dilatih dan mendapat pekerjaan yang munasabah.
"Kerajaan juga berhasrat untuk ada kerjasama dengan Petronas di Pengerang, Johor dan DRB-Hicom Berhad di Pekan, Pahang dalam hal latihan TVET,'' katanya.
Abdul Halim Hadi