GLC, GLIC main peranan besar realisasikan konsep MADANI
CYBERJAYA - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) mempunyai peranan besar dalam menyumbang dan merealisasikan pembangunan Malaysia MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua0-dua entiti tersebut berperanan khusus dalam memangkin pelaburan bagi sektor pertumbuhan baharu.
"(Selain itu) mereka turut memainkan peranan dalam menyokong pembangunan modal insan terutamanya penggajian graduan baharu dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat," kata Anwar dalam ciapan di akaun Twitter rasmi milik beliau, sebentar tadi.
Perdana Menteri turut berkongsi gambar pertemuan yang diadakan di Kementerian Kewangan di Putrajaya dengan wakil GLC dan GLIC yang diadakan petang tadi.
Kata Anwar, pertemuan itu diadakan berhubung Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 23 Feb depan.
"Selaras dengan elemen mampan dalam pendekatan MADANI, perbincangan merangkumi komitmen GLIC dan GLC untuk meningkatkan kemampanan industri sawit serta memacu tenaga boleh diperbaharui," kata Anwar.
Beliau pada masa yang sama turut mengarahkan GLC dan GLIC memastikan penyediaan pekerjaan yang bermaruah, pembangunan vendor dan PKS tempatan serta menyumbang kepada program kemasyarakatan, terutamanya program pembasmian kemiskinan.
"Ini adalah selaras dengan elemen ihsan dalam pendekatan MADANI," katanya lagi.