Aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun akan dibenarkan

Aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun akan dibenarkan

PUTRAJAYA - Kerajaan akan membenarkan aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia tertakluk kepada peraturan serta garis panduan baharu yang akan dikeluarkan.

Kata Kor Ming, perkara tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, sebagai antara langkah yang boleh meningkatkan pendapatan negara, dan kerajaan akan mengawal aktiviti penjualannya di peringkat sumber iaitu pemborong dan pengimport.

Beliau menjangkakan, pendapatan kerajaan akan bertambah menerusi pengenaan duti import kepada pemegang lesen, yang boleh menjangkau hingga ratusan juta, dan pengimportannya pula akan dapat dikawal selia dari segi undang-undang.

“Kita serah kepada Kementerian Dalam Negeri untuk buat panduan dan semua peraturan, bagaimana untuk mohon lesen.

"Kementerian Kewangan akan tetapkan berapa peratus cukai perlu dibayar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Muhibbah sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini hari ini.

Sebelum ini, tambah Kor Ming, segala bentuk keuntungan melalui aktiviti penjualan mercun dan bunga api ini dikaut oleh sindiket yang membawa masuk produk itu ke dalam negara secara haram ketika musim perayaan, dan dari segi keselamatan pula, tiada standard keselamatan ditetapkan, menyebabkan adakalanya berlaku kemalangan.