10 MoA akan dimeterai, tambah baik TVET - Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR - Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini akan ditambah baik melalui memorandum perjanjian (MoA) yang akan dimeterai oleh pihak kerajaan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta dalam masa terdekat.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, inisiatif tersebut merangkumi 10 MoA membabitkan bidang automotif, minyak dan gas, hospitaliti, teknologi penyejuk bekuan serta penyaman udara.
Katanya, program kerjasama spesifik bersifat itu bersifat 'quick win' dan sebanyak 50 MoA disasarkan akan ditandatangani pada tahun ini, namun hanya 10 yang akan dimeterai dalam masa terdekat.
"Seperti mana yang diumumkan melalui Belanjawan 2023, sebanyak 50 MoA disasarkan akan ditandatangani pada tahun ini.
"Namun pada jangka masa terdekat 10 MoA bersama GLC dan syarikat swasta akan dimuktamadkan bagi pelaksanaan TVET.
“MoA ini akan bertindak sebagai platform kerjasama induk antara GLC dan syarikat swasta dengan kerajaan," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang mahu tahu strategi baharu kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan program TVET.
Pada masa sama, Fadillah berkata, sehingga kini sebanyak 1,295 institusi TVET merangkumi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) direkodkan di negara ini.