TikTok platform terbaik sebar kesedaran kempen, jana pendapatan
KUALA LUMPUR - Penggunaan media sosial kini bukan sahaja terhad sebagai penghubung sosial dan hiburan tetapi juga sebagai platform kesedaran awam dan menjana pendapatan.
Di atas dasar ini, Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) menjalin kerjasama strategik dengan KamiSempoi International Agency (KSIA) bagi memperkasakan kempen 'Are You Okay' yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
'Are You Okay' merupakan kempen kesedaran bagi menangani masalah psikologi dalam kalangan wanita dan dilancarkan sejak tahun lepas.
Presiden KWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, kerjasama strategik yang dijalinkan amat penting dalam menguar-uarkan maklumat kempen.
"Kami memerlukan sokongan sebagai rakan strategik bagi penyampaian maklumat aktiviti," kata Normaziah dalam sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian dengan KSIA, di sini hari ini.
KSIA diwakili oleh Pengasasnya To Chin Swee.
Normaziah seterusnya menambah, jalinan kerjasama startegik tidak terhad setakat penyebaran maklumat kempen, tetapi turut meliputi pemerkasaan komuniti wanita sendiri.
"Saya yakin KSIA mempunyai strategi terbaik dalam melahirkan hos TikTok terbaik, jadi kepakaran mereka secara langsung dapat juga membantu ahli kami dalam menjana pendapatan mereka sendiri nanti," kata Normaziah lagi.
Sementara itu, menurut Chin Swee, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama sedemikian kerana ia dapat menangkis stigma orang ramai bahawa media sosial terutamanya platform TikTok tidak mempunyai manfaat.
"Hakikatnya, KSIA sebagai sebuah agensi dibawah TikTok Malaysia, sudah melahirkan ramai pempengaruh dan selebriti yang mampu menjana pendapatan mereka sendiri.
"TikTok hanya sebuah platform, yang mana jika digunakan sebaiknya, akan mendatangkan manfaat kepada kita sendiri," kata Chin Swee yang lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee di platform media sosial.
Beliau kemudiannya menjelaskan, KSIA ketika ini mempunyai seramai 670 hos dengan jumlah pengikut terkumpul seramai 16 juta.