Peniaga jual 2 biji tomato RM9 dikenakan kompaun

Peniaga jual 2 biji tomato RM9 dikenakan kompaun
Gambar hiasan

ALOR GAJAH - Gara-gara dipercayai menjual dua biji tomato pada harga RM9, seorang pengusaha kedai runcit dikenakan tindakan kompaun oleh  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tindakan itu adalah susulan berita tular apabila seorang lelaki mendakwa dikenakan caj yang mahal ketika membeli dua biji tomato seberat 200 gram di Bukit Pulau, dekat sini.

KPDN dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihaknya telah berkunjung ke kedai berkenaan sebagai tinjauan untuk memastikan kesahihan berita tersebut. 

“Tular berita yang menyatakan ada kedai menjual tomato dengan harga tidak masuk akal. Dengan pantas sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka membuat tinjauan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tanda harga ada dipamerkan pada buah tomato tersebut iaitu RM 10.00 bagi sekilogram.

“Pemeriksaan menyeluruh juga telah dibuat dan satu tindakan kompaun telah diambil dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berkaitan tanda harga,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, KPDN memaklumkan pemilik premis ada menyatakan berlaku kesilapan semasa pengiraan dan baki wang tersebut telah dipulangkan semula kepada pelanggan.