Netanyahu pecat Menteri Pertahanan Israel

Netanyahu pecat Menteri Pertahanan Israel
Gallant (kanan) dipecat kerana menggesa kerajaan menghentikan reformasi terhadap sistem kehakiman Israel.

MOSCOW - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan  memecat Menteri Pertahanan, Yoav Gallant selepas beliau  menggesa kerajaan menghentikan reformasi kehakiman yang mencetuskan kontroversi dan bantahan di seluruh negara.

Pemecatan tersebut dimaklumkan pejabat Netanyahu menerusi satu ciapan pada Ahad, kata agensi Sputnik.

"Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah memutuskan, untuk memecat Menteri Pertahanan Yoavi Gallant," kata ciapan tersebut.

Gallant menjadi menteri Israel pertama yang menyeru supaya reformasi dihentikan.

Beliau menegaskan, terdapat perpecahan yang semakin meningkat dalam masyarakat Israel sehingga turut membabitkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan agensi keselamatan negara itu.

Terdahulu, ribuan rakyat Israel mengadakan protes membantah reformasi kehakiman di Israel selama hampir 11 minggu.

Draf undang-undang yang dibentangkan oleh Menteri Kehakiman, Yariv Levin pada Januari, jika diterima pakai akan menyekat kuasa Mahkamah Agung Israel dan memberi kerajaan kuasa dalam pelantikan hakim.