Lebih banyak gerai dijangka perkenal Menu Rahmah bulan depan - Salahuddin

Lebih banyak gerai dijangka perkenal Menu Rahmah bulan depan - Salahuddin
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub (tiga dari kanan) bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera pusat Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Lebuhraya ELITE ( Arah Selatan) di sini, hari ini. Foto - Najmi Zulkefle
Lebih banyak gerai dijangka perkenal Menu Rahmah bulan depan - Salahuddin

DENGKIL - Jumlah gerai yang akan memperkenalkan Menu Rahmah dijangka meningkat mulai bulan hadapan, jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Katanya, Menu Rahmah yang dijual pada harga serendah RM5 juga tidak menjejaskan kualiti makanan tersebut yang terbukti berkhasiat.

"Bagaimanapun, pada bulan hadapan jumlah tersebut akan meningkat sebanyak dua kali ganda. Inisiatif itu adalah bagi membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia.

"Menu Rahmah boleh dinikmati dengan harga RM5 tanpa menjejaskan kuantiti dan kualiti makanan yand disediakan. Setakat ini, kami tidak pernah menerima sebarang aduan daripada rakyat berhubung Menu Rahmah, " katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelaksanaan Menu Rahmah di medan selera pusat Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Lebuhraya ELITE (Arah Selatan).

Yang hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri  Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, KPDNKSH juga akan membantu penjual dalam mengawal harga barangan asas agar tidak terkesan dengan jualan Menu Rahmah.

“Kita ada jualan Rahmah di lapan atau sembilan pasaraya dengan menawarkan harga barangan asas lebih murah berbanding tempat lain.

"Selain itu, antara usaha lain adalah saya akan cuba berbincang dengan sektor pembuatan. Mungkin, mereka juga boleh memberi harga Rahmah kepada pemilik kedai," katanya lagi.