Lebih 70,000 peserta FELCRA terima keuntungan boleh agih RM183 juta
JELEBU - Lebih 70,000 peserta FELCRA Berhad menerima berita gembira menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan pengumuman Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 berjumlah RM182,785,208.18.
Berita gembira itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Simpang Pertang, Jelebu hari ini.
Menurut FELCRA dalam satu kenyataan, Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 ini memanfaatkan seramai 68,437 peserta di seluruh Malaysia melibatkan 616 projek untung.
"Prestasi bayaran akhir ini dipengaruhi oleh trend harga minyak sawit mentah (MSM), kos input pertanian dan kos tenaga buruh berikutan pelarasan gaji minimum yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
"Jumlah agihan keuntungan tahunan projek-projek peserta FELCRA Berhad 2022 telah meningkat kepada RM501,556,634 berbanding tahun 2021 sebanyak RM475,207,280 iaitu peningkatan sebanyak 5.54 peratus atau RM 26,349,354," katanya.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, bayaran bagi keuntungan boleh agih ini akan dibayar kepada warga peserta secara berperingkat bermula hari ini.
Sementara itu pada majlis tersebut, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan Pusat Tahfiz sekitar DUN Pertang sebanyak RM86,000 dan agihan duit raya kepada pelajar tahfiz.
Turut diserahkan replika cek berjumlah RM80,000 bagi program Quick Win KEMAS yang melibatkan 20 peserta bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Editor