KJ minta doktor kontrak terus perjuang hak mereka
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru doktor kontrak untuk terus memperjuangkan hak mereka walaupun mustahil untuk kerajaan memenuhi keseluruhan permintaan tersebut.
Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan (KKM) sewajarnya berusaha untuk menangani masalah yang membelenggu doktor kontrak susulan mogok yang dilakukan oleh mereka bermula hari ini hingga Rabu.
Katanya, usaha tersebut harus diterjemahkan menerusi pembaharuan yang
menampakkan komitmen kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut.
Tambah Khairy, yang memegang jawatan Menteri Kesihatan sewaktu kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau telah mewujudkan 4,053 jawatan tetap membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
Beliau juga turut mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya memastikan akan ada 1,500 lantikan tetap tambahan setiap tahun.
Kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, antara inisiatif lain yang telah diambil KKM dibawah pentadbiranya termasuklah seperti cuti barah, cuti tibi dan mengesyorkan pemberian tambang khas kepada pegawai kontrak yang mengunjungi wilayah asal.
"Saya juga berjumpa dengan kumpulan doktor, termasuk Hartal Doktor Kontrak dan sebagainya yang terbabit membuat tuntutan kepada saya ketika saya menjadi Menteri Kesihatan.
“Saya tidak mahu kata saya telah menyelesaikan masalah ini tetapi apa doktor muda, doktor junior dan doktor kontrak nak lihat adalah ke arah penyelesaian.
"Saya rasa tuntutan itu mungkin tuntutan yang besar. Contohnya, mereka nak semua doktor kontrak diserapkan secara tetap. Saya rasa itu mustahil dan waktu saya Menteri Kesihatan pun saya katakan itu mustahil untuk kita serapkan semua doktor kontrak sebagai doktor tetap.
"Tetapi, apa yang telah saya buat adalah menunjukkan bahawa terdapat kemajuan. Tunjuk bahawa ada kemajuan. Saya tahu anda tidak boleh memenuhi 100 peratus tuntutan mereka.
"Jadi apa yang saya telah saya buat adalah saya memperjuangkan supaya ada pelantikan atau ada kewujudan jawatan tetap baharu waktu saya menjadi Menteri Kesihatan," katanya dalam satu program bual bicara Keluar Sebentar, yang disiarkan menerusi laman Youtubenya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata sejak 2016, tidak satu pun jawatan tetap diwujudkan kecuali jawatan untuk fasiliti baharu atau jawatan untuk menggantikan mereka yang sudah bersara.
Oleh sebab itu, katanya, beliau telah meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan lebih 4,000 perjawatan tetap ketika beliau mengetuai KKM.
Katanya, walaupun langkah itu tidak menyelesaikan masalah lebih 10,000 doktor kontrak dalam perkhidmatan kesihatan awam, namun usaha itu sekurang-kurangnya memberikan ‘sinar’ untuk golongan terbabit.
"Saya telah berjuang. Saya kata JPA, sudah hampir lima tahun tidak diwujudkan satu pun jawatan tetap kecuali jawatan untuk fasiliti baharu atau jawatan untuk menggantikan mereka yang sudah bersara.
"Jadi, pesanan saya kepada doktor yang sedang mogok, berjuang untuk hak anda. Sebab mesti ada usaha daripada KKM dan kepada KKM, saya tahu, saya faham kedudukan menteri.
"Kita tak boleh setuju 100 peratus dengan tuntutan yang kita terima sebab ia mustahil. Tetapi sekurang-kurangnya tunjukkan bahawa ada kemajuan," katanya lagi.