Kemalangan van persiaran: Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Kemalangan van persiaran: Seorang lagi mangsa meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Seorang lagi mangsa kemalangan van persiaran di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang petang semalam, maut, menjadikan jumlah yang terkorban kini tujuh orang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang maut dalam kejadian tersebut dikenal pasti sebagai Wong Choun Chiet (pemandu), 49; Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hing, 62; Seow Mee Tin, 72, dan Chang Them Kong, 70.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati 13 penumpang tersebut dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Pulau Pinang menaiki sebuah van persiaran yang kemudian hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian bersama lima orang penumpang lain manakala seorang lagi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tambahnya, enam mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (termasuk seorang yang kemudian meninggal dunia) manakala dua lagi dihantar ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan dan telah dipindahkan ke Hospital Temerloh.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis memohon orang ramai yang menjadi saksi kemalangan itu tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Kemalangan itu berlaku pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari semasa van yang dinaiki 14 orang itu sedang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.