Enam warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak ceroboh negara guna Myad individu lain dipenjara

Enam warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak ceroboh negara guna Myad individu lain dipenjara
Lima warga Filipina yang memasuki negara ini menggunakan Mykad milik individu lain dijatuhkan hukuman penjara setahun diMahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Sepang hari ini.

SEPANG – Lima warga Filipina dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan manakala seorang remaja berusia 15 tahun dijatuhkan hukuman penjara sebulan atas kesalahan memiliki kad pengenalan warganegara Malaysia secara tidak sah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu di Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Sepang di sini pagi ini.

Hukuman terhadap Sahara Jamil, 51, Husin Jailun,48, Nur Aisah Insanul, 19, Ujirin Pandakan,43, dan Mukmin Oskar, 29 diputuskan selepas kertas pertuduhan mereka dibacakan secara berasingan oleh juru bahasa mahkamah di hadapan Ayuni Izzaty.

Tertuduh ke enam yang merupakan kanak-kanak Filipina berusia 15 tahun  dijatuhkan hukuman penjara sebulan atas pertuduhan yang sama.

Mengikut fakta pertuduhan, tertuduh pertama Sahara Jamil didakwa tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain atas nama Fatimah Hassan sebagai pengenalan diri.

Manakala tertuduh kedua Husin Jailun pula didakwa tanpa kuasa yang sama menggunakan kad pengenalan orang lain atas nama Omar kiraman sebagai pengenalan diri sementara tertuduh ketiga Nur Aisah pula turut didakwa menggunakan kad pengenalan orang lain bernama  Nursyakirah Nawang sebagai pengenalan diri.

Dalam pada itu, tertuduh keempat Ujirin Pandakan dituduh menggunakan kad pengenalan orang lain bernama Abdul Habil Mobin sebagai pengenalan dirinya.

Majistret turut menetapkan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda dan selepas tamat hukuman akan dirujuk kepada Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh didakwa memiliki dan menggunakan dokumen pengenalan diri yang bukan kepunyaan mereka.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Lapangan Terbang Antarabangsa  Kuala Lumpur 2 (klia2), kira-kira jam 1.30 petang  pada Khamis lalu.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Prosiding pendakwaan dikenalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara  (JPN) Putrajaya, Zulkarnain  Ahmad Nor dan Fadilah Mat Shaari.

Zulkarnain dan Fadilah  memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahannya itu boleh mengancam keselamatan negara dan implikasi kepada pemilik kad pengenalan.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan di Filipina.

Sebelum ini media melaporkan,Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membanteras sindiket yang menyeludup pendatang tanpa izin warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung, menerusi Ops Lancar.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata hasil operasi itu 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah itu telah ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau pada Khamis lalu antaranya hasil maklumat awal seorang warga Filipina yang ditahan di Lembah Klang pada tiga bulan lalu.